Penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua dalam kalangan murid bukan Melayu

 


Pengenalan 

Kemahiran berbahasa merupakan satu kemahiran yang perlu dikuasai oleh setiap orang. Kemahiran ini penting terutama sekali dalam sesi pembelajaran dan pengajaran ketika berada di sekolah rendah, menengah mahupun di institusi pengajian tinggi. Kegagalan seseorang itu untuk menguasai kemahiran berbahasa akan menjejaskan prestasi mereka sama ada dari segi sosial dan akademik kerana mereka tidak dapat memahami dan berkomunikasi menggunakan sesuatu bahasa itu dengan baik. Kemerosotan kemahiran berbahasa di kalangan masyarakat boleh dilihat melalui dapatan kajian yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran baru-baru ini yang mendapati bahawa 165,000 pelajar di negara kita masih buta huruf. Laporan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan telah mencatatkan bahawa 125,000 daripada jumlah tersebut ialah daripada pelajar sekolah rendah dan selebihnya ialah pelajar daripada pelajar sekolah menegah.


Pernyataan masalah

    Dasawarsa ini, bahasa Melayu mulai dipandang remeh oleh masyarakat di Malaysia terutama sekali mereka yang tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pertama ketika bertutur dalam kehidupan seharian mereka. Masyarakat yang bukan berbangsa Melayu ini seperti bangsa Cina, India dan Bajau didapati mempunyai kemahiran yang minima terhadap bahasa Melayu. Keadaan ini menyebabkan bahasa Melayu semakin dipinggirkan dan tidak diambil perhatian terutama sekali di dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. 


Punca masalah penguasaan dalam bahasa Melayu

1.    Kurang pendedahan terhadap bahasa Melayu

Sikap murid yang tidak mengamalkan amalan membaca buku dalam Bahasa Melayu sama ada buku jenis fiksyen mahupun non-fiksyen menyebabkan mereka mendapat kurang pendedahan terhadap bahasa Melayu. Murid tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada guru di sekolah untuk mengasah kemahiran bahasa mereka dalam Bahasa Melayu. 

2.    Ibu bapa menggunakan bahasa ibunda

Bahasa ibunda adalah bahasa pertama yang dipelajari oleh seseorang bermula dari saat dia dilahirkan sehinggalah dia pandai berkata-kata. Oleh itu, anak-anak akan menggunakan bahasa ibunda untuk berkomunikasi dalam kehidupan seharian. Sebagai contoh, penggunaan bahasa Cina, Tamil dan bahasa-bahasa yang dituturkan di Sabah dan Sarawak yang menyebabkan anak-anak tidak terdedah dalam bahasa Melayu. Hal ini menyukarkan mereka bertutur dalam bahasa Melayu lantaran bahasa ibunda menjadi kebiasaan mereka. Oleh itu, mereka lebih gemar dalam menggunakan bahasa ibunda dalam berkomunikasi kerana mudah untuk memahami perkara yang disampaikan atau perkara yang disampaikan atau perkara yang ingin disampaikan. 

3.    Bahasa Melayu yang diajar terlalu formal di dalam kelas

Bahasa Melayu yang diajar secara terlalu formal di dalam kelas menyebabkan murid berasa bosan dan kurang berminat untuk mempelajari bahasa Melayu. Seperti yang kita tahu, kanak-kanak masih belum berupaya untuk mengekalkan fokus mereka iaitu mereka cepat terganggu selain lebih suka berada dalam situasi yang seronok dan melibatkan permainan. Oleh sebab itu, keadaan pembelajaran yang formal sangat tidak sesuai terutama sekali untuk murid-murid sekolah rendah. Selain itu, mereka juga tidak memahami bahasa Melayu sepenuhnya kerana mereka kerap menggunakan bahasa ibunda ketika bertutur dengan keluarga mereka di rumah. 

 Kesan masalah penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid.

1.    Kurang pendedahan terhadap bahasa Melayu

Pendedahan yang kurang dalam bahasa Melayu menyebabkan murid tidak mempunyai kosa kata dan perbendaharaan kata yang luas dalam Bahasa Melayu. Mereka akan menghadapi kesukaran ketika mnejawab soalan Bahasa Melayu dalam peperiksaan dan bahkan tidak mampu menggunakan Bahasa Melayu dengan baik dengan dalam kehidupan seharian mereka. Buktinya, 34.1% murid Cina, mempunyai masalah pemahaman dalam perbualan, 23.1% mempunyai masalah bertutur manakala masalah membaca pula sebanyak 11.0% . 

2.    Tidak dapat memahami pelajaran yang disampaikan oleh guru bahasa Melayu

Pembelajaran bahasa Melayu menyukarkan pelajar bukan Melayu untuk memahami setiap perkataan yang diungkapkan oleh guru. Hal ini demikian kerana, murid-murid lebih terdedah dengan perkataan bahasa ibunda mereka sehingga tidak pernah mendengar perkataan-perkataan atau kosa kata yang diungkapkan oleh guru bahasa Melayu. Hal ini akan menyebabkan murid-murid bosan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran kerana tidak memahami tentang perkara yang disampaikan oleh guru. Dengan itu, murid akan kurang minat untuk mempelajari bahasa Melayu kerana merasakan bahawa bahasa Melayu sangat sukar untuk difahami dan dipelajari.

3.    Mereka menganggap bahasa Melayu adalah bahasa yang susah 

Murid-murid akan mengalami masalah ketika menjawab peperiksaan kerana mereka mempunyai pemahaman yang kurang terhadap bahasa Melayu. Hal ini akan menyebabkan mereka tidak mendapat markah yang begitu baik dalam peperiksaan. Mereka juga akan berasa malu kepada diri sensdiri dan kurang berkeyakinan untuk mempelajari bahasa Melayu. Seterusnya, ia juga akan menjatuhkan gred purata sekolah. Sekiranya murid menguasai subjek lain tetapi tidak menguasai bahasa Melayu, ia sedikit sebanyak akan merugikan mereka. Hal ini kerana bahasa Melayu adalah subjek yang wajib lulus dan dikuasai oleh semua pelajar tanpa mengira bangsa dan agama.


Langkah untuk mengatasi masalah penguasaan murid dalam bahasa Melayu.

1.    Ibu bapa perlu memberikan pendedahan terhadap anak mereka.

Ibu- bapa perlu lebih banyak membuat bacaan buku terutama sekali buku di dalam Bahasa Melayu. Sebagai langkah awal, murid boleh membaca buku Bahasa Melayu dalam bentuk cerita dongeng, hikayat dan sebagainya. Buku-buku seperti ini akan memudahkan mereka untuk memahami Bahasa Melayu dengan lebih baik kerana ia mempunyai grafik yang menarik serta certia yang tidak  terlalu kompleks. 

2.   Peranan pihak Sekolah 

Pihak sekolah harus memperuntukan tambahan waktu pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di sekolah iaitu antara 30 minit sehingga 90 minit. Hal ini akan memberi peluang kepada murid untuk memahami bahasa Melayu dengan lebih jelas. Dengan cara ini, mereka akan berpeluang untuk menghadam topik yang mereka belajar dan mempunyai lebih banyak waktu untuk bertanya soalan kepada guru mereka. Tambahan pula, pihak sekolah dapat memperkukuhkan penguasaan asas kemahiran berbahasa murid melalui pendekatan kurikulum modular yang bersepadu, seimbang dan holistik. Pendekatan ini dilakukan melalui kaedah pengajaran dan pembelajaran yang memberi tumpuan kepada perkara asas berbahasa, didik hibur, apresiasi bahasa melalui modul seni bahasa dan modul tatabahasa. 

3. Peranan guru

Guru perlu menyediakan aktiviti yang menarik untuk murid-murid ketika sesi pembelajaran. Contohnya aktiviti teka-teki suku kata bahasa Melayu, kuiz bahasa Melayu, aktiviti pertandingan bercerita dan banyak lagi. Hal ini dapat membantu guru untuk mengenal pasti kelemahan dan kelebihan murid. Selain itu, sekolah juga boleh mengadakan kem motivasi dan klinik bahasa Melayu dengan menjemput penceramah yang berpengalaman agar murid - murid dapat memperolehi pengetahuan yang baharu di samping dapat memupuk perasaan cinta terhadap bahasa Melayu di kalangan murid-murid. Sekiranya langkah ini berjaya dilaksanakan, murid-murid pasti berhasil memperbaiki kelemahan mereka ketika berbahasa dari masa ke semasa.


Kesimpulan

Kesimpulannya, bahasa Melayu merupakan bahasa yang agak sukar untuk murid bukan Melayu kuasai kerana bahasa Melayu bukan bahasa pertama mereka. Namun begitu, penguasaan murid  terhadap bahasa Melayu akan lebih mantap sekiranya kerajaan, guru-guru, ibu-bapa dan murid sendiri berusaha untuk meningkatkan penguasaan kemahiran dalam bahasa Melayu. Sebagai rakyat Malaysia, kita haruslah memartabatkan bahasa Melayu kerana bahasa ini mencerminkan identiti kita sebagai rakyat Malaysia. Oleh sebab itu, setiap orang harus menguasai bahasa Melayu tanpa mengira kaum, bangsa, dan agama.



Sumber rujukan

Roasharimah Ibrahim & Zamri Mahamod. (2017). Faktor Dalaman yang Mempengaruhi Penguasaan Bahasa Melayu Murid Cina. Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, 7-15.

Sivaneswary Sivaratanam. (2019). Penguasaan Golongan Kata dalam Kalangan Murid SJKT. International Journal of Malay Letters. Jilid 7, 1-4.

Chew Fong Peng. (2016). Masalah Pembelajaran Bahasa Melayu dalam Kalangan Murid Cina Sekolah Rendah. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 6(2), 10-22.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2017). Penerimaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa  Kedua dalam Kalangan Murid Berbangsa Bajau. International Journal of Humanities and Social Science Invention, 6(10), 1-11.

Saraswathy A/P Pormalu, Rohaidah Kamaruddin, Paramasivam A/L Muthusamy et. all.(2017).  Pembelajaran Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kedua dalam Kalangan Pelajar  Sekolah Tamil. International Journal of the Malay and Civilisation, 5(1), 45-55.




Penulis:    
Danette Dolmin
Nurul Maziah binti Amad Jakrin
Siti Ariani binti Awang Bulat










Comments

  1. 1. Boleh menulis idea yang sistematik.
    2. Penggunaan bahasa yang jelas.
    3. Blog boleh divariasikan lagi

    ReplyDelete

Post a Comment